Assalamualaikum
Tidak ramai memberi fokus kepada amalan kesihatan dan penjagaan tubuh badan
dan kecenderungan ini dapat disaksikan sepanjang Ramadan sedangkan Islam
amat menitikberatkan kesihatan seperti mana Islam menjaga jiwa serta akal
penganutnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu mempunyai
tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.” (Hadis
riwayat Bukhari)
Menunaikan hak terhadap tubuh badan bererti menikmati tahap upaya badan
yang benar-benar baik dan selamat dari segi fizikal, mental, emosi, rohani
secara optimum sehingga berupaya mencapai potensi kehidupan berpandukan
agama.
Mukmin yang kuat mempamerkan kekuatan agama berbanding mukim yang lemah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik
dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat
Muslim)
Sihat adalah anugerah Allah yang sewajarnya disyukuri. Islam meletakkan
kesihatan dan kesejahteraan di tempat pertama selepas keyakinan (keimanan).
Jika kita mempunyai masalah kesihatan, segala urusan ibadat turut
terganggu.
Pernyataan itu berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Mintalah kepada
Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara
yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman).” (Hadis riwayat
Ibnu Majah)
Kaedah terbaik dalam penjagaan kesihatan ialah menyediakan perisai
pencegahan seawalnya. Namun, apabila diserang penyakit, kita terpaksa
berikhtiar untuk menyembuhkan walaupun terpaksa mengambil masa panjang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah telah menurunkan penyakit
dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah
tetapi jangan berubat dengan benda yang haram.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam satu peristiwa, orang Arab Badwi telah datang kepada Baginda SAW dan
bertanya: “Ya Rasulullah adakah kami perlu berubat? Maka sabda Nabi: Ya,
wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat sesungguhnya Allah tidak
meletakkan suatu penyakit itu kecuali diletakkan bersamanya ubat kecuali
satu penyakit saja. Maka mereka bertanya: Apakah penyakit itu? Sabda Nabi:
Penyakit itu ialah tua.” (Hadis riwayat Ahmad)
Tokoh perubatan Islam terkenal, Abu Ali Al Hussain Ibnu Abdullah (Ibnu
Sina) menyatakan, tujuan perubatan ialah untuk memelihara kesihatan yang
sedia ada dan mengembalikan kesihatan ketika hilang.
Kita sering dihidangkan pelbagai jenis masakan dan juadah bagi memenuhi
keperluan jasmani. Tujuannya, untuk membekalkan tenaga secukupnya dalam
melakukan aktiviti harian. Keadaan ini begitu ketara di bulan Ramadan.
Makan secara berlebihan boleh memudaratkan badan. Al-Quran menjelaskan
mengenai pentingnya bersederhana dalam soal makan dan minum sebagai panduan
untuk kebaikan. Allah berfirman yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah
serta jangan berlebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31)
Kebersihan memainkan peranan penting mengelakkan seseorang ditimpa
penyakit. Persekitaran yang kotor akan mengundang pelbagai jenis kuman
pembawa penyakit dan sebab itu aspek kebersihan sebahagian cabang keimanan.
Makanan yang disediakan hendaklah dipastikan kebersihannya, dibasuh dengan
cara yang betul dan dimasak sempurna. Jangan mengendalikan makanan untuk
juadah keluarga tanpa mengambil kira kesan dan risikonya selepas itu.
Makanlah sekadar yang mencukupi asalkan dapat berdiri untuk bekerja kerana
keadaan lapar boleh mematahkan semangat bekerja.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada satu tempat dipenuhkan oleh
anak Adam yang lebih mencelakakan dirinya selain daripada perutnya.
Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makanan untuk menegakkan
tulang belakangnya (bagi menahan kelaparan dan untuk berdiri beribadah).
Jika itu tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah bahagikan perut kepada
tiga bahagian, satu untuk makanan, satu untuk minuman dan satu lagi
kosongkan untuk bernafas.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirm
izi)
Akal yang cergas berkait rapat dengan badan yang sihat. Badan yang sihat
berkait rapat dengan amalan pemakan dan makanan seimbang. Pepatah Arab ada
menyebut: ‘Akal yang sihat adalah dari badan yang sihat’.
Wasallam
Source: Forwarded E-mail