Wednesday, August 17, 2011

Ramadan - Amalan Kesihatan dan Penjagaan Tubuh Badan

Assalamualaikum

Tidak ramai memberi fokus kepada amalan kesihatan dan penjagaan tubuh badan
dan  kecenderungan  ini  dapat disaksikan sepanjang Ramadan sedangkan Islam
amat  menitikberatkan  kesihatan seperti mana Islam menjaga jiwa serta akal
penganutnya.

Rasulullah  SAW  bersabda  yang  bermaksud:  “Sesungguhnya  kamu  mempunyai
tanggungjawab  untuk  menunaikan  hak  terhadap  tubuh  badan kamu.” (Hadis
riwayat Bukhari)

Menunaikan  hak  terhadap  tubuh  badan bererti menikmati tahap upaya badan
yang  benar-benar baik dan selamat dari segi fizikal, mental, emosi, rohani
secara  optimum  sehingga  berupaya  mencapai potensi kehidupan berpandukan
agama.

Mukmin  yang  kuat  mempamerkan kekuatan agama berbanding mukim yang lemah.
Rasulullah  SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik
dan  disukai  oleh  Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat
Muslim)

Sihat  adalah  anugerah  Allah  yang sewajarnya disyukuri. Islam meletakkan
kesihatan dan kesejahteraan di tempat pertama selepas keyakinan (keimanan).
Jika  kita  mempunyai  masalah  kesihatan,  segala  urusan  ibadat  turut
terganggu.

Pernyataan  itu berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Mintalah kepada
Allah  kesihatan  dan  kesejahteraan  kerana sesungguhnya tidak ada perkara
yang  lebih  baik  dari kesihatan selepas keyakinan (iman).” (Hadis riwayat
Ibnu Majah)

Kaedah  terbaik  dalam  penjagaan  kesihatan  ialah  menyediakan  perisai
pencegahan  seawalnya.  Namun,  apabila  diserang  penyakit,  kita terpaksa
berikhtiar  untuk  menyembuhkan  walaupun  terpaksa mengambil masa panjang.
Rasulullah  SAW  bersabda  yang bermaksud: “Allah telah menurunkan penyakit
dan  ubat  dan  dijadikan  kepada  setiap  penyakit ada ubatnya, berubatlah
tetapi jangan berubat dengan benda yang haram.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam  satu peristiwa, orang Arab Badwi telah datang kepada Baginda SAW dan
bertanya:  “Ya  Rasulullah  adakah kami perlu berubat? Maka sabda Nabi: Ya,
wahai  hamba  Allah  hendaklah  kamu  berubat  sesungguhnya  Allah  tidak
meletakkan  suatu  penyakit  itu kecuali diletakkan bersamanya ubat kecuali
satu  penyakit saja. Maka mereka bertanya: Apakah penyakit itu? Sabda Nabi:
Penyakit itu ialah tua.” (Hadis riwayat Ahmad)

Tokoh  perubatan  Islam  terkenal,  Abu  Ali Al Hussain Ibnu Abdullah (Ibnu
Sina)  menyatakan,  tujuan  perubatan ialah untuk memelihara kesihatan yang
sedia ada dan mengembalikan kesihatan ketika hilang.

Kita  sering  dihidangkan  pelbagai  jenis masakan dan juadah bagi memenuhi
keperluan  jasmani.  Tujuannya,  untuk  membekalkan tenaga secukupnya dalam
melakukan aktiviti harian. Keadaan ini begitu ketara di bulan Ramadan.

Makan  secara  berlebihan  boleh  memudaratkan  badan. Al-Quran menjelaskan
mengenai pentingnya bersederhana dalam soal makan dan minum sebagai panduan
untuk  kebaikan.  Allah  berfirman  yang  bermaksud: “Makanlah dan minumlah
serta jangan berlebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31)

Kebersihan  memainkan  peranan  penting  mengelakkan  seseorang  ditimpa
penyakit.  Persekitaran  yang  kotor  akan  mengundang pelbagai jenis kuman
pembawa penyakit dan sebab itu aspek kebersihan sebahagian cabang keimanan.

Makanan  yang disediakan hendaklah dipastikan kebersihannya, dibasuh dengan
cara  yang  betul  dan dimasak sempurna. Jangan mengendalikan makanan untuk
juadah keluarga tanpa mengambil kira kesan dan risikonya selepas itu.

Makanlah  sekadar yang mencukupi asalkan dapat berdiri untuk bekerja kerana
keadaan      lapar      boleh      mematahkan      semangat      bekerja.

Rasulullah  SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada satu tempat dipenuhkan oleh
anak  Adam  yang  lebih  mencelakakan  dirinya  selain  daripada  perutnya.
Memadailah  untuk  anak  Adam  itu  beberapa  suap makanan untuk menegakkan
tulang  belakangnya  (bagi  menahan kelaparan dan untuk berdiri beribadah).
Jika  itu  tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah bahagikan perut kepada
tiga  bahagian,  satu  untuk  makanan,  satu  untuk  minuman  dan satu lagi
kosongkan untuk bernafas.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirm
izi)

Akal  yang  cergas  berkait rapat dengan badan yang sihat. Badan yang sihat
berkait  rapat dengan amalan pemakan dan makanan seimbang. Pepatah Arab ada
menyebut: ‘Akal yang sihat adalah dari badan yang sihat’.

Wasallam


Source: Forwarded E-mail

No comments: