Entah nape hari ni rasa cam nak mengimbau kenangan2 lama. Imbas balik post2 lama yg berkisarkan kelahiran anak beberapa tahun yg lalu. Terpaut dengan satu entry yg aku copy paste dari email pemberian kenalan, dan aku copy paste lagi sekali entry tersebut di blog ini. Kalau ada masa baca lah yer...
_____________________________________________________________________
Assalamualaikum. Lama tak update. Tapi hari ni berminat nak kongsikan satu artikel nie tuk para ibu2 semua. Thanks to my ofismet yg share kan this artikel to me.
Bacalah dah fahamilah... saya percaya sebagai ibu2 anda akan membaca ini dengan lelehan airmata tanpa disedari.
******************************************************************
Menjadi seorang ibu juga merupakan anugerahNya. Perasaan hati nurani seorang ibu begitu unik sekali. Saya fikir – Alhamdulillah – ia diberi kepada mereka yang terpilih. Namun tidak menjadi ibu atau tidak mempunyai anak bukan pula satu hukuman. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui tentang apa yang tidak kita ketahui. Allah SWT berfirman melalui ayat 49-50 surah Asy-Syura yang bermaksud,
Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendakiNya), dan Dia menjadikan mandul sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.
Kehadiran anak itu sendiri merupakan fenomena kehidupan yang mampu menceritakan kebesaran dan kehebatan Allah SWT. Hakikatnya, setiap kejadian di alam ini mampu mengukuhkan iman apabila dipandang melalui kaca mata Tauhid. Apabila manusia melihat dengan Tauhid – memandang setiap perkara yang berlaku dengan kefahaman tentang keesaan Allah – manusia akan dapat melihat pelbagai nama dan sifat Allah terpampang di setiap kejadian dan makhluk.
Sesungguhnya Allahlah Yang Zahir dan Batin.
Begitulah bagaimana kaca mata Tauhid membolehkan kita mengerti tentang Kecantikan dan Kesempurnaan Allah. Malah jika diperluaskan pandangan dengan melihat secara universal, seseorang itu juga akan lebih memahami dan mendalami keagungan Allah SWT.
Anak dilahirkam. Ia disambut dengan penuh kegembiraan. Hubungan pertama antara ibu dan anak yang paling signifikan – saya fikir – berlaku apabila bayi diserahkan kepada ibunya. Sang ibu memandang tepat ke arah wajah bayi dengan penuh rasa kasih yang tidak dapat digambarkan. Lalu – barangkali dalam kesukaran – ibu akan memberi hidangan makanan yang pertama.
Susu ibu.
Itulah lambang kebesaran dan kehebatan Allah SWT. Ia percuma dan tidak perlu dibayar. Malah datangnya secara berperingkat-peringkat. Semakin kuat bayi menyusu semakin banyak susu yang keluar. Kilang susu ini sangat ajaib jika dilihat berdasarkan konsep Tauhid yang telah saya nyatakan.
Begitulah. Selepas seorang ibu mengandungkan anak selama sembilan bulan dan kemudian melahirkan bayi itu penuh kepayahan, ibu tersebut bertugas pula untuk menyusukan bayi itu selama dua tahun. Di dalam tempoh penyusuan ini memang banyak ujiannya juga.
Ibu-ibu mungkin pernah berasa letih, sedih atau kecewa di dalam melaksanakan tugas ini. Mungkin terdapat ibu-ibu yang mengalami kesakitan dan keletihan kerana perlu menyusukan anak dan berkali-kali berjaga di tengah malam untuk tujuan tersebut.
Tidak kurang juga yang berasa kecewa kerana kekurangan susu atau mungkin tiada susu. Sebahagian yang lain mungkin menghadapi tekanan kerana tiada sokongan dan suntikan semangat daripada keluarga terdekat. Benar, menyusukan anak-anak dengan susu ibu bukan tugas mudah. Sebaliknya, ada ibu yang berasa gembira kerana dapat menyusukan anak sendiri dan menyimpan stok susu yang banyak.
Ma sha Allah!
Sesungguhnya ketenangan ibu dan rasa redha yang tinggi akan menjadikan penyusuan susu ibu sebagai kegiatani yang menggembirakan di antara ibu dan anak. In sya Allah.
Mungkin juga di antara ibu-ibu berasa puas hati dan bersyukur dapat menyusukan anak dengan susu ibu sepenuhnya. Sehingga mungkin juga terselit rasa kagum dengan diri kerana berupaya menyusukan anak berbanding ibu-ibu yang lain.
Na'uzubillah...
Saya juga sedang berada di dalam peringkat menyusukan anak kecil yang baru lahir. Ada ketikanya saya didatangi perasaan gembira dan bersyukur. Pada ketika yang lain saya dihinggap keletihan dan susah hati. Malah ada pelbagai perasaan yang datang dan pergi.
Suatu hari ketika saya sedang menyusukan bayi saya, fikiran difokuskan dan saya cuba memahami hikmah di sebalik penyusuan menggunakan susu ibu ini sehinggakan ia amat disaran di dalam al-Qur’an. Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah member makan dan pakaian kepada ibu menurut cara yang sepatutnya.
Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).
Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.
Alangkah baiknya jika kita – saya dan ibu ibu-ibu yang menyusukan anak –cuba memahami sifat-sifat Allah yang tersembunyi di sebalik penyusuan anak-anak ini. Mudah-mudahan ia dapat melatih menajamkan pandangan Tauhid dalam melihat setiap kejadian di dalam kehidupan seharian.
Sekaligus kefahaman ini –In sha Allah – mampu menghilangkan ananiyah (keegoan), malah menambahkan rasa bersyukur serta kehambaan kepada Allah Ta’ala.
Sewaktu seorang ibu menyusukan anak kecilnya, pada ketika itu bukan dia seorang sahaja yang sedang menyusukan anak. Di sana, di seluruh dunia terdapat ribuan lagi ibu-ibu sedang melakukan perkara yang sama. Mereka sedang menyusukan dengan penuh kasih, memeluk anak kecil yang tidak berupaya. Anak kecil yang lemah itu hanya mampu menangis.
Ribuan perempuan atau ibu-ibu tadi sebenarnya hanyalah yang menurut perintah daripada Allah Yang Memberi Rezeki (Al-Razzaq). Allah yang mengatur seluruh sistem dalam tubuh ibu-ibu dan menukarkan segala makanan menjadi susu. Ibu itu tidak berbuat apa-apa pun, malah tidak pernah sedar tentang mesin-mesin canggih yang sedang beroperasi di dalam tubuhnya.
Allah, Tuhan yang memiliki khazanah rezeki yang melimpah ruah tidak pernah habis. Dia tidak membiarkan hambanya –seorang bayi – yang lemah, kecil dan tiada upaya bersendirian. Sewaktu anak kecil tadi kelaparan, Allah taskhirkan (tundukkan) ibunya sendiri untuk berkhidmat kepada si anak.
Ibu-ibu itu akan melakukan apa sahaja untuk memastikan bayi kecilnya selesa dan tidak menangis. Ibu-ibu seumpama malaikat yang dihantar oleh Allah untuk menjaga bayi kecil sebaik-baiknya. Hakikatnya ibu itu hanyalah menjalankan perintah menyampaikan rezeki Allah kepada seorang bayi. Ibu hanyalah wasilah. Ribuan anak kecil di seluruh dunia mendapat rezeki daripada Allah dari jalan yang tidak disangka-sangka, bukan daripada ibunya tetapi daripada Allah.
Ibunya hanyalah menurut perintah!
Ribuan anak kecil mendapat rezeki dengan penuh kelembutan. Rezeki mereka ialah air susu yang paling bersih dan terbaik daripada Tuhan Yang Satu, Yang Maha Memberi Rezeki. Tuhan yang Satu membahagikan rezeki penuh adil, saksama, indah dan seni. Kecantikan Allah dan Kesempurnaan Allah terjelma daripada pandangan Tauhid yang diperhatikan secara luas ini.
Andai ibu-ibu mengetahui, ketika menyusukan anak-anak mereka, sebenarnya mereka sedang menjalankan suatu tugas yang diamanahkan oleh Allah. Mereka sedang melakukan ibadah dalam bentuk salbiyah (negatif). Ibadah salbiyah sememangnya banyak melibatkan kaum ibu seperti mengandungkan anak, melahirkan anak, menjaga dan mendidik anak-anak, memasak untuk keluarga, ketaatan kepada suami, menjaga kehormatan diri dan sebagainya.
Ma sya Allah!
Ibadah seperti ini tidak diketahui manusia. Zahirnya hanyalah rutin biasa. Namun ibadah salbiyah seperti menyusukan anak yang dilakukan penuh redha akan bertukar menjadi pahala-pahala berganda. Mudah-mudahan ia memberatkan timbangan neraca kebaikan seorang ibu di akhirat nanti. Amin.
Penutup
Maha Suci Allah yang memberi ilmu pengetahuan melalui pandangan yang luas melalui kaca mata Tauhid di dalam penyusuan. Kaum ibu – In sya Allah – akan lebih faham keindahan dan kesempurnaan Allah. Dia yang Pengasih dan Penyayang begitu sempurna dalam pentadbirannNya. Ibu-ibu perlu berbangga dan bersyukur menjadi petugas yang menjalankan khidmat menyalurkan rezeki Allah kepada anak-anak kecil mereka.
Laailaha illallah, Muhammadur Rasulullah. PENYUSUAN - http://muhdkamil.org/