Tuesday, August 2, 2011

Bulan Menguji dan Pembersihan Jiwa

Ok sempena bulan baik dan mulia ini, sekali-sekala kita selang-selikan dengan entry yg berinformasi.. InsyaAllah

*********************************************************************************

Assalamulaikum

Ramadan bulan menguji kesabaran dan pembersihan jiwa, bulan yang penuh
keberkatan, permulaannya rahmat, pertengahannya penuh keampunan dan di
akhirnya adalah kebebasan daripada azab neraka.

Allah menganugerahkan banyak fadilat pada bulan ini sebagai motivasi kepada
umat Islam supaya melaksanakan pelbagai ibadat yang ditunjukkan Baginda SAW
dengan penuh tertib dan beradab.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila Ramadan tiba maka pintu
syurga akan dibukakan dan pintu neraka akan ditutup serta syaitan akan
dibelenggu.” – (Hadis riwayat Bukhari)

Cabaran paling besar untuk umat Islam pada waktu ini adalah untuk
meningkatkan kualiti ibadat berpuasa. Namun, banyak keadaan mencabar umat
Islam menjadikan bulan Ramadan sebagai ibadat lahiriah saja, sedangkan
puasa sebenarnya membentuk kekuatan dalaman lebih bermakna.

Di sinilah kita dapat melihat antara sunnah Rasulullah SAW dan aliran
berpuasa manakah yang menjadi ikutan ramai?

Menyemarakkan Ramadan adalah sunnah Nabi SAW, tetapi salah tanggapan bahawa
bulan mulia ini adalah gelanggang untuk mengadakan pesta makanan atas nama
bufet Ramadan sudah cukup menggambarkan diri umat Islam yang terdedah
kepada amalan berbuka puasa di hotel.

Ini diakui kebanyakan hotel yang mendakwa permintaan mengadakan bufet pada
Ramadan cukup memberangsangkan. Anehnya bagi kita kerana sepatutnya pada
bulan inilah umat Islam menahan hawa nafsu (dengan berlapar dan dahaga)
berbanding bulan lain.

Menghormati bulan Ramadan bukan hanya pada siangnya saja malah perlu
dilanjutkan sepanjang masa daripada waktu bersahur sehinggalah hari
seterusnya.

Walaupun ada pihak menasihatkan tidak salah jika kita mampu untuk menikmati
juadah berbuka di mana-mana tempat tetapi alangkah manisnya seluruh pihak
bersama menyemarakkan Ramadan dengan menghayati erti lapar dan dahaga.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak ada bekas yang diisikan oleh
anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan
beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia
terpaksa melakukannya juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu
pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” – (Hadis riwayat
Tirmizi, Ahmad, Ibnu Majah dan an-Nasai)

Waktu berbuka puasa pula bukan masa untuk ‘membalas dendam’ kerana seharian
tidak mengisi perut yang kosong. Berbuka perlu mengikut amalan sunnah
sebagai mengembalikan semula tenaga mencukupi supaya boleh beribadat
seperti tadarus al-Quran atau solat tarawih.

Samalah kita bersahur yang sunat dilewatkan untuk mengisi perut sebagai
bekalan tenaga pada waktu siang. Alasan makan dengan banyak kerana ‘takut
lapar’ pada waktu siang adalah alasan yang sudah ketinggalan zaman.

Sedangkan hikmah berpuasa bertujuan supaya kita merasai betapa susahnya
golongan yang sedang kelaparan maka kita akan insaf serta bersyukur dengan
kemewahan dikurniakan Allah. Sesungguhnya tidak akan hilang kemeriahan
Ramadan sekalipun tanpa acara makan yang sedang ditawarkan kepada umat
Islam masa kini.

Jelaslah bahawa maksud puasa adalah pengosongan perut, mematahkan syahwat
supaya jiwa lebih bertakwa daripada yang sedia ada (al-Baqarah:183).
Rasulullah SAW juga pernah bersabda maksudnya: “Ramai orang yang berpuasa,
tetapi ia tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya itu melainkan lapar
dan dahaga.” – (Diriwayatkan oleh Nasa'i dan Ibnu Majah)

Nabi SAW seorang ahli perniagaan dan menggalakkan umatnya berniaga kerana
Allah menjadikan rezeki di dalam bidang perniagaan ini lebih besar
pendapatannya berbanding pekerjaan makan gaji.

Peningkatan ekonomi melalui usaha perniagaan seperti di bazar Ramadan pasti
akan meningkatkan pendapatan keluarga dan seterusnya mengurangkan kadar
kemiskinan di kalangan umat Islam.

Tetapi inilah aliran semakin membiak ke dalam hati umat Islam yang
bersemangat untuk mencuba-cuba saja tanpa ada pelan jangka masa panjang
bagi menceburkan diri ke dalam aktiviti perniagaan.

Menjelangnya Syawal nanti, bakal menjadi medan perang potongan harga atau
diskaun bagi menarik perhatian orang ramai mendapatkan keperluan membeli
belah untuk merayakan Aidilfitri.

Sekali lagi seluruh umat Islam seakan-akan terkena histeria membeli-belah
tanpa mengira potongan diskaun yang akhirnya menjadikan pengeluaran wang
melebihi perbelanjaan harian. Sunnah menganjurkan supaya perayaan ini
disertakan dengan sifat rendah diri, tawaduk, menjaga adab perayaan
seterusnya meneruskan dengan ibadat sunat seperti puasa sunat 6 Syawal.

Oleh kerana ibadat puasa bertujuan mendidik jiwa manusia supaya lebih
bertakwa kepada Allah SWT justeru marilah kita bersama-sama meningkatkan
kualiti amalan ini supaya mendapat keredaan Allah.

Biar apa pun dugaannya, janganlah pula ada pihak yang cuba menggunakan nama
ihya' (menyemarakkan) Ramadan sebagai medan ujian untuk memesongkan sunnah
Nabi dengan pelbagai keadaan yang bertentangan adab berpuasa.

Semoga ibadat ini akan berjaya menundukkan hawa nafsu yang sentiasa
mengarah kepada perbuatan keji dan tidak diredai Allah. Nabi SAW bersabda
yang bermaksud: “Tidak akan melarat sesiapa saja yang hidup dengan
sederhana (dalam berbelanja).” – (Riwayat Ahmad dan Thabrani)


Wassalam

Source:  Forwarded E-mail

No comments: